Wednesday 9 July 2014

Tips Menghadapi Bulan Ramadhan

1. Ikutilah sunnah Baginda SAW

Amalkanlah membaca doa ini:
“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
Rasulullah SAW sendiri yang mengajarkan doa ini kepada para sahabat. Ajal maut boleh tiba pada bila-bila masa di luar pengetahuan kita, maka mintalah kepada Allah agar kita masih diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan.
buffet puasa ramadan 6 Tips Menghadapi Bulan Ramadhan

2. Persiapkan diri untuk belajar

Diri kita perlu bersedia untuk belajar. Belajar untuk menghayati Ramadhan, tahu makna puasa yang hakiki, faham amalan sunat sepanjang Ramadhan dan mengerti hukum tajwid di dalam al-Quran yang akan dibaca secara bertadarrus. Paling utama, bersedialah untuk belajar mencari taqwa pada bulan Ramadhan serta meletakkan ikhlas dalam setiap amalan.

3. Elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan (lagha)

Latihlah diri dan tahanlah nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kita leka dan lalai dari mengingati Allah. Perkara yang dilakukan secara konsisten dan berterusan walaupun ianya merupakan perkara yang lagha, perbuatan tersebut akan menjadi kebiasaan diri yang sukar untuk dibuang. Oleh itu, ketahanan dan latihan yang istiqamah juga diperlukan untuk mengikisnya daripada diri kita.

4. Jaga pandangan dan percakapan

Tahanlah pandangan kita daripada memandang perkara haram dan sia-sia. Tahanlah mulut kita daripada memfitnah, mengumpat, mengeji, memaki serta bercakap perkara-perkara yang sia-sia (lagha). Bersihkanlah pancaindera kita daripada berbuat perkara-perkara tersebut sebelum melangkah ke madarasah Ramadhan. Hal ini kerana, kita akan tetap melakukannya, walaupun dalam bulan yang mulia kerana ianya telah sebati dalam diri kita. Jika ini terjadi, maka akan hilanglah pahala Ramadhan kita.

5. Latih diri serta ajaklah ahli keluarga untuk bangun Qiyamullail bersama-sama

Kita akan lebih mudah untuk melakukan Qiyamullail jika bangun bersama-sama ahli keluarga. Ini merupakan proses penyucian jiwa, selain menjadi latihan untuk bersahur dan mengejar malam al-Qadar. Moga latihan ini akan istiqamah walau Ramadhan telah pun berlalu.
tips bulan ramadhan 6 Tips Menghadapi Bulan Ramadhan

6. Hiasi rumah kita secara fizikal dan rohaninya

Hiaslah dan bersihkanlah rumah kita sepertimana kita menyambut Aidilfitri. Seharusnya, Ramadhan lebih dirai dan ditunggu-tunggu kehadirannya. Hiasilah serta hidupkanlah rumah kita dengan solat jemaah, tadarrus Al-Quran, Qiyamullail, peringatan-peringatan juga zikrullah.

Rebutlah kesempatan istimewa ini

Para pembaca yang sangat menanti kehadiran Ramadhan,
Sebagai hamba Allah yang hina dan sentiasa bergelumang dengan dosa, bulan Ramadhan inilah kesempatan kita untuk bertaubat serta mangharap keampunan Allah SWT. Ramadhan penuh dengan ganjaran pahala yang melimpah-ruah, pintu taubat dan keampunan dibuka seluas-luasnya. Alangkah ruginya kita andai keluar sebagai graduan madrasah Ramadhan tanpa mendapat sijil keampunan serta rahmat sang Pencipta!

No comments:

Post a Comment